PETALING JAYA: Jabatan Penjara mengesahkan wujud sindiket penipuan yang menyasarkan ahli keluarga waris banduan berkaitan pembelian makanan istimewa di penjara.
Jabatan itu menerusi kenyataan berkata, sindiket penipuan itu menggunakan nama samaran seperti Sarjan Zul, Sarjan Sani dan Sarjan Zam bagi menipu ahli keluarga.
“Sindiket ini akan meminta sejumlah wang untuk pembelian makanan istimewa dan menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih,” katanya.
Dalam pada itu, ahli keluarga atau waris prospek yang menerima pesanan ringkas mencurigakan dinasihatkan tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau nombor akaun yang tidak dikenali atau mencurigakan.
“Buat laporan di balai polis berhampiran sekiranya menerima pesanan seumpama ini, serta melaporkan perkara itu kepada pihak institusi penjara bagi tindakan lanjut.
“Jabatan Penjara komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan banduan serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, pihaknya meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak terperdaya dengan taktik licik sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Jabatan Penjara untuk kepentingan peribadi. – UTUSAN