PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang wartawan sebuah portal kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000.
Ia sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.
Perintah reman selama empat hari sehingga 4 Mac ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Beveniyah R Jothi, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semalam di sebuah hotel di sekitar Selangor hasil aduan dan ‘trap’ yang dilakukan pegawai penyiasat SPRM.
“Suspek ditahan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah, bukannya sebab laporan berita yang ditulisnya mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti yang dilaporkan.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang rasuah sebanyak RM100,000 tetapi setelah berunding, suspek bersetuju menerima ‘pendahuluan’ kira-kira RM20,000,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 telah disita. – UTUSAN