LAHAD DATU: Parti Warisan (Warisan) memutuskan untuk bergerak solo menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah ada perbincangan atau keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti.
Katanya, apa yang penting adalah gabungan kuasa rakyat dalam menentukan parti yang akan memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk mereka.
“Kita akan bertanding sebagai sebuah parti, tidak ada kerjasama dengan mana-mana parti pun. Kita yakin di Sabah gabungan rakyat itu lebih penting. Kalau rakyat mahu bergabung, mereka boleh menentukan seperti apa yang berlaku semasa zaman Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) memerintah, tiada gabungan.
“Begitu juga semasa Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah, selama 20 tahun orang Sabah buat keputusan. Maknanya sudah pernah berlaku,” katanya semasa program Iftar Ramadan bersama masyarakat Tungku di Masjid Daerah Kecil Tungku, semalam.
Sejarah politik Sabah sebelum ini telah membuktikan bahawa parti tunggal mampu memerintah negeri ini, tanpa perlu ada gabungan.
Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, rakyat Sabah lebih tahu tentang hala tuju dan masa depan yang mereka inginkan.
Justeru, Warisan ingin menawarkan keupayaan mereka dalam membawa perubahan kepada negeri Sabah meskipun parti itu tidak banyak wang tetapi, pemimpin-pemimpin parti itu sentiasa berusaha meletakkan Sabah dan rakyat Sabah pada landasan yang sepatutnya.
Menurutnya, beliau meletak keyakinan bahawa Warisan mampu mengekalkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku.
“Tetapi, mereka (Warisan) tidak mahu terlalu selesa dan perlu sentiasa bekerja dan mendampingi rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, ramai dalam kalangan rakyat memerlukan bantuan jadi, rakyat mahu masalah mereka didengari dan diambil tindakan. – UTUSAN