TAMPIN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar kepada waris keluarga penyanyi, Allahyarham Mohd. Azam Zainal Abidin yang meninggal dunia pada 26 Februari lalu.
Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Wan Kefli Hamid berkata, selepas mendapat maklumat mengenai kematian penyanyi itu, Skuad Perkeso Prihatin Putrajaya telah melakukan semakan dan mendapati warisnya layak mendapat faedah berkenaan.
“Faedah ini berdasarkan caruman yang dibuat Azam Smile sebagai pekerja sebuah institusi perbankan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sebelum memulakan karier sebagai penyanyi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batang Rokan, Gemencheh di sini hari ini
Allahyarham sebelum ini dilaporkan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas katil rumahnya di Shah Alam, Selangor.
Wan Kefli dalam pada itu berkata, oleh kerana arwah masih bujang, faedah berkenaan akan diberikan kepada ibu dan bapanya sehingga akhir hayat.
“Kedua-dua waris ini akan menerima pencen penakat setiap bulan yang layak di bawah Skim Keilatan Perkeso. Selain itu, Mohd Azam juga adalah merupakan pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Kes kematian beliau di bawah skim ini masih dalam proses siasatan dan sekiranya layak, kedua-dua waris berpeluang menerima faedah di bawah kedua-dua skim ini,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru individu yang bekerja sendiri supaya mendaftar dan mencarum menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Skim ini pada permulaannya diwajibkan ke atas Sektor Pengangkutan Penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas yang bekerja sendiri secara berperingkat mulai 1 Jun 2017 dan elah diperluaskan kepada 19 lagi sektor tidak formal sejak 1 Januari 2020 termasuklah kategori kesenian.
“Kesemua anak seni yang bergiat di dalam industri hiburan mahupun di belakang tabir boleh mencarum di bawah kategori ini dan akan memperoleh perlindungan sekiranya berlaku kemalangan akibat pekerjaan, kematian daripada kemalangan sewaktu bekerja dan penyakit berkaitan dengan pekerjaan,” katanya. – UTUSAN