KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada atau merancang ke wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani di selatan Thailand dinasihatkan agar sentiasa berwaspada susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku di kawasan berkenaan, baru-baru ini.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, sedang memantau rapat perkembangan semasa di ketiga-tiga wilayah terbabit.
“Mengambil kira situasi terkini, rakyat Malaysia yang berada atau bercadang ke wilayah tersebut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada.
“Selain itu, kementerian juga menasihatkan agar semua perjalanan yang tidak penting ke kawasan berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, orang ramai yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok atau Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla. – UTUSAN