KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya sehingga menyebabkan cedera parah.
Tertuduh, Sidik Ismail@Mamat, 76, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa berusia 70 tahun di sebuah rumah di Dungun pada pukul 10 malam, 23 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca Bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Di bawah Seksyen 325 KK, sekiranya disabitkan memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum di bawah Seksyen 325.
Mahkamah menetapkan 13 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000. – UTUSAN