PETALING JAYA: Seorang warga emas yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda bukan Islam didakwa semula, petang ini.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan berkata, terdapat isu teknikal dengan pertuduhan yang difailkan ke atas Abdul Razak Ismail pagi tadi.
“Isu teknikal melibatkan pertuduhan telah diatasi dan individu terbabit akan dituduh semula di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada petang ini.
“Jabatan Pequam Negara komited untuk memastikan semua pihak memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.
Mahkamah Majistret Johor Bahru pada pagi tadi melepas tanpa membebaskan warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda bukan Islam yang dikatakan tidak berpuasa.
Majistret, A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke AGC di Putrajaya.
Terdahulu, kes berkenaan sempat menjalani prosiding apabila orang kena saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan majistret.
Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di premis kedai serbaneka di sebuah pusat beli belah di sini, kira-kira pukul 3.45 petang pada 16 Mac lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan. – UTUSAN