JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) lelaki warga emas yang tular kerana menampar seorang pemuda bukan Islam di sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah, di sini Ahad lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret, A. Shaarmini selepas pihak pendakwaan memaklumkan untuk mengklasifikasikan kes tersebut sebagai untuk dirujuk ke pejabat Peguam Negara, Putrajaya ketika prosiding berlangsung.
Terdahulu, Abdul Razak Ismail, 65, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan, namun tidak mengakui fakta kes yang dibacakan jurubahasa.
Shaarmini justeru menolak pengakuan bersalah tersebut dan memerintahkannya untuk melantik peguam bagi membela diri.
Bagaimanapun, sebelum tarikh ditetapkan, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam memaklumkan pihaknya menerima arahan untuk merujuk kes tersebut kepada pejabat Peguam Negara.
Majistret kemudian memerintahkan kes itu DNAA terlebih dahulu dan akan dituduh semula pada masa akan datang.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang pemuda di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah di sini pada pukul 3.45 petang, Ahad lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun serta denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berusia 22 tahun memaklumkan telah ditampar di pipi kanan pada masa dan lokasi yang sama oleh tertuduh dan hasil pemeriksaan kesihatan mendapati kesan lebam di pipi kanannya.
Ahad lalu, tular dua rakaman video berdurasi 32 saat dan 44 saat berkaitan insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar seorang lelaki warga emas ketika sedang makan di kedai serbaneka dalam sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini. – UTUSAN