JOHOR BAHRU: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki dengan mendakwa mampu menyelesaikan kes polis milik mangsa, dua tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Lui Hoh Yew, 67, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Hoh Yew yang tidak bekerja didakwa menipu seorang lelaki dengan meminta rasuah RM20,000 bagi menyelesaikan kes polis melibatkan mangsa yang berdepan dakwaan di bawah Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 di rumah kediaman mangsa di Taman Mutiara Rini, Skudai antara pukul 11 malam hingga 12 tengah malam, 8 Mei 2023
Dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling.
Peguam bela tertuduh, K. Bharathi memberitahu mahkamah, tertuduh dan isterinya tidak bekerja dengan wang belanja harian mereka diberi oleh anak pasangan itu yang berusia 35 tahun.
“Tertuduh juga mempunyai penyakit darah tinggi dan kolesterol,” katanya sambil memberitahu tertuduh hanya mampu membayar jaminan berjumlah RM7,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN