ALOR SETAR: Kematian wanita warga emas berusia 68 tahun yang disyaki dibunuh anak lelakinya di Kampung Tok Keling, di sini kelmarin dipercayai akibat hentakan objek tumpul pada kepala dan lemas setelah terhidu asap.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
“Polis turut merampas sebatang tukul besi berwarna putih, merah dan biru serta sehelai kain pelekat yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Jenis bahan bakar yang digunakan pula hanya akan dapat dipastikan setelah laporan kriminalistik diperoleh daripada Jabatan Kimia,” katanya di sini semalam.
Kesemua barang kes terlibat dihantar ke Jabatan Kimia Kedah untuk ujian kriminalistik, manakala sampel kes dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan toksikologi.
Akhbar melaporkan seorang wanita warga emas maut dalam keadaan tragis apabila mayatnya ditemukan terbakar dipercayai akibat perbuatan anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental di Kampung Tok Keling.
Pihak polis menerusi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan MERS999 berhubung satu kejadian mengamuk di sebuah rumah di lokasi itu pada pukul 7.48 pagi, kelmarin.
Sepasukan polis diarah ke lokasi kejadian untuk tindakan awal sejurus maklumat diterima dan menahan seorang lelaki dipercayai suspek yang dikatakan mengamuk seperti dilaporkan.
Pemeriksaan lanjut polis menemui satu mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah dipercayai dibunuh dan lelaki berusia 43 tahun itu direman seminggu bermula semalam. – UTUSAN