PETALING JAYA: Seorang lelaki warga India yang dipercayai di bawah pengaruh dadah mengamuk sebelum mengugut mahu terjun dari tingkat 10 Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.12 petang itu, suspek berusia 27 tahun dikatakan bertindak agresif di luar tingkap sebuah rumah sambil memecahkan cermin tingkap kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, anggota polis yang tiba di lokasi berjaya menyelamatkan lelaki itu, sebelum kejadian lebih buruk berlaku.
“Suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak agresif dan cuba terjun dari bangunan. Namun, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengelakkan insiden yang tidak diingini.
“Kami (polis) sedang menyiasat latar belakang suspek serta sama ada dia mempunyai rekod jenayah atau penyalahgunaan dadah,” katanya. – UTUSAN