HULU TERENGGANU: Seorang wanita maut manakala lima lago cedera setelah kenderaan dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 416.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Zaharim Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.37 pagi dan ke lokasi dengan kekuatan tujuh anggota.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Nissan Serena yang menghala ke Kuala Terengganu dengan lori Nissan Diesel.
“Penumpang hadapan Nissan Serena iaitu seorang perempuan dewasa disahkan pasukan perubatan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa serta pemandu yang cedera dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
“Empat penumpang belakang iaitu seorang lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang turut cedera dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Katanya, pemandu lori iaitu seorang lelaki dewasa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi pihaknya tamat pukul 5.45 pagi. – UTUSAN