DUNGUN: Seorang wanita meluahkan kekecewaan selepas mendakwa ditipu penjual di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Paka menghala ke Kuala Terengganu, di sini yang menjual lauk ikan patin masak tempoyak berbau busuk dan lama.
Luahan itu dikongsikan Haina Fadlina dalam laman sosial Facebook yang turut mendakwa dia mengalami cirit birit selepas menikmati nasi putih dengan lauk ikan patin yang dibeli dengan harga RM22.
“Ikan patin buruk dan busuk, ikan lama, isi ikan pun sudah merah. “Basuh tangan dan lima kali, bau busuk tak hilang lagi,” tulisnya.
Menurut Haina Fadlina, dia sangat kecewa apabila penjual makanan itu bersikap sambil lewa dan tidak menghiraukan aduan yang dibuat mengenai rasa lauk tersebut dan tiada permohonan maaf daripada peniaga itu diterimanya.
“Bila bagitahu penjual kedai, diorang wat bodo (buat-buat bodoh). Tiada satu pun perkataan maaf. Hari ini aku cirit dan lima hingga enam kali berulang tandas.,” tulisnya.
Perkongsian itu turut mengundang kemarahan warganet dan meminta Haina Fadlina melaporkan kejadian itu kepada Kementerian Kesihatan supaya tindakan ke atas peniaga itu dapat diambil. – UTUSAN