KOTA KINABALU: Seorang wanita warga China mengalami kecederaan patah kaki dalam kejadian runtuhan lantai tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Segama, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, wanita berusia 55 tahun berkenaan dihempap simen lantai bangunan di tingkat atas yang runtuh secara tiba-tiba.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam.
Katanya, pasukan bomba serta petugas kesihatan tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.29 malam bagi mencari dan menyelamat mangsa terlibat.
“Pasukan penyelamat telah menemukan seorang mangsa wanita warga China berusia 55 tahun mengalami kecederaan patah kaki sebelah kiri akibat insiden tersebut. Mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, demi keselamatan penyewa yang berada di tingkat dua dan tiga bangunan, 55 penghuni turut diarah mengosongkan bilik sewa masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Sebuah pusat pemindahan sementara juga telah dibuka di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu untuk menempatkan penghuni yang terjejas.
“Pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan memastikan tiada risko tambahan kepada orang awam,” katanya. – UTUSAN