Wang RM170 juta: Ismail Sabri suspek

Wang RM170 juta: Ismail Sabri suspek

AZAM Baki menunjukkan pelbagai mata wang asing dan jongkong emas yang dirampas berhubung kes melibatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pen­ce­gahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pen­ce­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Per­dana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini adalah suspek dalam penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil semula Ismail untuk dirakam percakapan, Rabu ini berhubung beberapa kes rasuah dan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

“Dalam hal ini, saya boleh katakan beliau adalah seorang suspek dalam kes ini kerana Seksyen 36 telah diberikan kepada beliau untuk membuat pengisytiharan harta.

“Dan bila terjumpa wang ini, be­liau antara dikaitkan, maka ki­ta perlu dapatkan penjelasan da­ripada beliau tentang pene­muan wang ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini semalam.

Jelasnya, ia susulan rampasan oleh SPRM yang membawa kepada penemuan wang tunai serta jongkong emas dipercayai mempu­nyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri ke-9 itu.

SPRM turut mengesahkan rampasan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah pejabat yang dipercayai dijadikan sebagai safehouse.

Bagaimanapun, menurut Azam, proses rakaman percakapan yang akan dijalankan adalah bergantung kepada tahap kesihatan Ismail Sabri.

“Dan dijangka rakaman percakapan ini akan dibuat pada hari Rabu minggu ini iaitu selang satu hari daripada sekarang.

“Rakaman percakapan akan berkisar daripada pengisytiharan harta beliau dan juga berhubung kes yang sedang disiasat sekarang ini,” katanya.

Kata Azam lagi, setakat ini seramai 31 saksi telah pun dirakam percakapan mereka berhubung kes tersebut.

“Untuk makluman, beberapa orang saksi telah pun dipanggil untuk dirakam percakapan namun kita masih ada lagi lebih kurang dalam tujuh atau lapan saksi untuk dipanggil memberi keterangan dalam tempoh minggu ini dan mungkin berlanjutan pada minggu akan datang,” katanya.

Ditanya berkenaan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Ismail Sabri iaitu Datuk Nazimah Hashim, Azam menjelaskan bahawa percakapan beliau juga telah dirakam oleh SPRM.

“Setakat ini percakapan beliau telah pun diambil dan tidak pernah lagi kita terpaksa memanggil beliau dari luar negara, dia berada dalam negara ini,” ujarnya.

Kelmarin media melapor­kan, SPRM mengesahkan Ismail Sabri kini disiasat pihaknya berkaitan kes rasuah dan peng­ubahan wang haram.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa ahli Parlimen Bera itu menerajui kerajaan.

Ismail Sabri juga telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya