Kehidupan harian pemilik nama Ahmad Fahim Wafiyyuddin Ahmad Safarman atau lebih dikenali sebagai Wafiy daripada Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Jeli Kelantan ini berubah serta-merta sebaik sahaja hidup berjauhan dengan ibu dan adik kesayangan.

di atas
pentas.
Pada awalnya Wafiy tinggal sebumbung ketika ibu dan bapa bertugas di Gerik, Perak bersama ibu, bapa serta seorang adik lelaki sejak dari kecil lagi. Namun awal tahun ini, sebaik sahaja ibu dan bapanya yang bertugas sebagai seorang guru dapat bertukar tempat mengajar iaitu di Kelantan menjadikan kehidupan seharian yang dilalui kanak-kanak berusia 9 tahun ini terus lain daripada kebiasaan.
Apa tidaknya, Wafiy tinggal bersama bapanya di Jeli tetapi adik dan ibunya tinggal di Kota Bharu lantaran ibu dan ayah masing-masing ditempatkan bertugas di lain-lain daerah.
Roda hidup anak kelahiran Kota Bharu ini terus berpusing bersama masa. Ini membuatkan Wafiy menaruh sepenuh perhatian dan kepercayaan kepada bapanya khususnya dalam segala hal yang melibatkan pengurusan diri, kesihatan, makanan, pakaian serta persekolahan.
“Saya amat bersyukur memiliki seorang bapa yang setiap hari memberi kata-kata semangat biar pun hidup berjauhan dengan keluarga tersayang. Pesan bapa, biar berjauhan dengan keluarga tetapi jangan sesekali mengabaikan pelajaran,” ujar Wafiy lagi yang pernah mengalami masalah kemurungan, tiada selera makan, kurang berat badan sehingga hilang semangat untuk belajar.

Kanak-kanak yang petah berbicara ini juga melalui hari-hari bersama rindu yang membuak-buak dan hanya menemui ibu dan adik pada hujung minggu sahaja. Ini membuatkan Wafiy cuba membina bahagia dan mengisi masa dengan cara tersendiri lantaran menyedari masa itu emas.
Di sekolah, Wafiy dikira sebagai seorang murid yang aktif. Dia akan cuba menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti dari awal pagi sehingga menjelang malam hasil dorongan bapanya.
Bagi memupuk keyakinan diri dan membina semangat Wafiy cuba memasuki apa sahaja aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ini sekali gus dapat mengelakkan ingatan kepada ibu dan adik tersayang.
Wafiy menjadi wakil murid tahap satu apabila memasuki beberapa pertandingan peringkat sekolah antaranya pertandingan bercerita bagi mewakili sekolah ke peringkat daerah.
“Penat sebenarnya hafal cerita yang memakan masa lima hingga enam minit. Tapi di situlah saya dapat mengasah ingatan saya,” ujarnya.
Wafiy juga turut memasuki setiap aktiviti sekolah yang lain antaranya menjadi pelakon dan penyanyi bagi persembahan atau gimik. Antara persembahan bersama rakan-rakan yang pernah dijayakan adalah Gimik Peluncuran Amalan Pemakanan Sihat dan juga Gimik Peluncuran Cegah Buli. Terbaharu selesai sudah mengadakan persembahan sempena pelancaran Program Duta
Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah di sekolah.
Di sekolah juga, Wafiy sering kali meluangkan masa mengikuti sesi latihan drama pentas yang diadakan di sekolah bersama penolong kanan kokurikulum, Cikgu Mazraihan Hilmi seorang guru Bahasa Inggeris yang amat berbakat dan meminati bidang seni.
“Saya turut didedahkan dengan murid-murid tahap dua yang terlibat dengan drama pentas sehingga mengikut mereka ke pertandingan peringkat negeri di Kota Bharu beberapa bulan yang lalu,” ujarnya yang masih mengingati drama Meranduk Ombak sempena Festival Lakon Layar FLLAsh) Peringkat Negeri Kelantan dan drama Tikar Mengkuang Nenek ketika Festival Teater Kanak-kanak Negeri Kelantan anjuran Pertubuhan Majlis Teater Kelantan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
Tidak cukup dengan itu, pemilik tubuh kecil dan comel ini turut memasuki acara menghafal juzuk surah al-Kahfi bagi menguji ketajaman ingatan dalam bacaan al-Quran serta menyokong kelab dan persatuan Bahasa Arab.
Selain itu juga bakat Wafiy juga bersinar dalam bidang nyanyian. Sering kali mengadakan persembahan di atas pentas di hadapan guru, pegawai PPD, pegawai perhubungan sekolah, PIBG, ibu bapa dan rakan-rakan. Wafiy bukan sahaja pandai menyanyi dalam Bahasa Melayu tetapi dalam Bahasa Arab juga. Bahkan dia boleh menyanyi lagu dikir barat.
“Saya berlatih menyanyi ketika di dalam kereta sepanjang perjalanan pulang ke Kota Bharu. Perjalanan memakan masa selama dua jam lebih. Jadi saya memanfaatkan masa yang ada,” ujarnya yang sering kali menyanyikan lagu daripada penyanyi Tantari iaitu Rindu Hatiku Rindu.
Bakat menyanyinya tidak hanya di dalam sekolah sahaja. Wafiy juga didedahkan dan didorong oleh bapanya yang juga seorang penulis novel, menyanyi di khalayak ramai seperti di tempat kenduri kahwin.
“Di tempat kenduri saya menyanyi untuk menghiburkan pengantin dan tetamu sahaja. Sekadar hobi dan suka-suka sahaja. Upahnya sepinggan nasi minyak pengantin baharu bersama ayam goreng pun jadilah,” ujarnya lagi sambil ketawa.
Tidak cukup dengan itu juga Wafiy yang meminati mata pelajaran Bahasa Melayu pernah memasuki pertandingan Bintang Cilik di Pesta Buku Negeri Kelantan anjuran Kedai Buku Banggol yang diadakan di pasar raya Giant Tunjong, Kota Bharu awal Oktober lalu.
“Biar pun tidak menang tapi saya bangga. Sebab saya kikis perasaan malu dan gementar. Paling penting saya dapat mempersembahkan bakat untuk menghiburkan orang lain,” luahnya lagi yang merasakan peserta yang masuk bertanding pada hari tersebut hebat dan berbakat semuanya.
Setiap kali menyanyi Wafiy akan membawakan lagu-lagu popular nyanyian kumpulan Exist seperti Langkah Seiringan, Rahsia Pohon Cemara, Untukmu Ibu dan pelbagai lagi.
“Saya sangat kagum dengan kemerduan suara penyanyi terkenal dari kumpulan ini,” ujarnya yang pernah mengimpikan menubuhkan sebuah kumpulan muzik dan nyanyian di sekolah bagi mengetengahkan bakat.
Wafiy sangat bersyukur kerana sejak dari tahun satu lagi bapanya sudah mendedahkan diri dengan aktiviti yang mencabar lain di luar sekolah seperti bersukan, berkhemah serta mendaki bukit.
“Kalau di Jeli saya akan mendaki Gunung Reng dan juga Bukit Salor. Penat memang penat tapi itu sahaja cara saya mengisi masa dari memikirkan tentang ibu dan adik yang jauh,”
Sekolah di pedalaman ini sebenarnya amat memenuhi dengan jiwanya. Apa tidaknya, Jeli yang pernah diberi jolokan Bandar Paling Bahagia ini banyak tempat menarik. Antaranya Lata Kashmir, Lata Turbo, Lata Mawo, Lata Janggut, Lata Renyuk dan banyak lagi. – UTUSAN