PETALING JAYA: Lelaki disyaki menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah melampau dalam satu video di akaun Facebook, ‘Vijayan Savarinathan‘ dipercayai berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan bahawa individu terbabit dipercayai berada di luar negara, namun usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti lokasi tepat suspek.
Menurut Razarudin, video tersebut dimuat naik pada 5 Mac lalu dan dipercayai telah dipadam selepas menerima kecaman hebat daripada orang ramai.
“Usaha mengesan suspek sedang diteruskan dan kita percaya dia kini berada di luar negara,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Media semalam melaporkan polis kini memburu pemilik Facebook Vijayan Savarinathan selepas memuat naik video menghina agama dan umat Islam.
Razarudin berkata, ia susulan laporan dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Manchis, di Balai Polis Manchis, Pahang, kelmarin mendakwa video yang dimuat naik oleh pemilik akaun terbabit yang didakwa menghina penganut agama Islam dengan kata-kata kesat.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan,” katanya. – UTUSAN