MELAKA: Klip video yang tular sejak semalam dengan mendakwa berlaku cubaan menculik kanak-kanak di sebuah pusat membeli-belah di sini, disahkan tidak benar.
Klip berdurasi 46 saat itu tular dalam media sosial dengan memaparkan situasi kecoh melibatkan seorang wanita ditahan polis di pekarangan pusat membeli-belah tersebut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian sebenar merupakan insiden membabitkan seorang wanita pesakit mental berusia 33 tahun.
Katanya, wanita itu dikatakan telah mengekori seorang pengunjung dan anaknya sebelum bertindak menendang mangsa sehingga terjatuh.
“Ketika kejadian berlaku, suspek dikatakan bercakap sendirian sebelum menjerit-jerit dan menyerang mangsa.
“Pasukan polis bantuan segera menahan suspek dan membawanya ke Balai Polis Melaka Tengah untuk siasatan,” katanya.
Tambah Christopher, semakan lanjut mendapati, suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Melaka dan masih dalam pemantauan.
“Kita juga telah menerima laporan daripada mangsa pada pukul 9.23 malam. Suspek bagaimanapun telah dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
“Pihak polis mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.
Christopher berkata, kes diklasifikasikan sebagai rawatan lanjut awal (RLA) dan suspek telah ditempatkan di Bahagian Psikiatri Hospital Melaka. – UTUSAN