JERANTUT: Seorang warga emas berusia 102 tahun yang dipercayai wanita paling tua di Felda Sungai Tekam dan wilayah Jengka di sini, masih mampu berpuasa di bulan Ramadan.
Rahmah Shabudin mempunyai lima anak berusia antara 60 hingga 80 tahun, 18 cucu berusia antara 22 hingga 59 tahun, 55 orang cicit berusia antara lima hingga 35 tahun dan 11 piut berusia antara dua hingga lapan tahun.
Cucunya, Noor Izam Ahmad, 52, berkata, Rahmah yang dilahirkan pada 1923 berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama suami, Ariffin Sharif menyertai Felda Sungai Tekam pada 1965.
“Datuk meninggal dunia 30 tahun lalu dan nenek dijaga bergilir-gilir oleh lima anaknya, kini saya diberi tanggungjawab dalam kalangan ahli keluarga untuk menjaga kebajikannya sejak dua tahun lalu.
“Menerusi perbualan dengan anaknya yang masih ada, Rahmah wanita yang sihat dan lasak sejak zaman muda. Dia mampu membantu arwah datuk bekerja di ladang serta melakukan pekerjaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Noor Izam, difahamkan neneknya antara 25 isteri peneroka berusia lebih 70 tahun di tanah rancangan tersebut yang masih ada dan dijaga oleh ahli keluarga masing-masing.
“Sejak usia muda, dia jarang jatuh sakit serius cuma demam dan batuk biasa. Nenek mula dikesan mengalami penyakit darah tinggi sejak 15 tahun lalu dan cuma dibawa membuat rutin pemeriksaan perubatan serta makan ubat, tetapi dia kelihatan sihat dan cergas,” katanya.
Menurutnya, Rahmah mengalami gangguan penglihatan melibatkan kedua-dua matanya tidak dapat melihat berikutan faktor usia.
“Nenek yang cuma mengesot untuk bergerak dalam rumah masih boleh berpuasa dan tahun lalu menghabiskan puasa sebulan Ramadan, di samping mengerjakan solat. Tahun ini dia menunaikan puasa seperti biasa,” katanya.
Ujarnya, neneknya cukup berselera makan dan antara sajian berbuka puasa digemari seperti kuih-muih lembut, bubur, masak lemak, kari ikan atau ayam dan minum susu pada waktu tertentu. – UTUSAN