Usaha padam kebakaran tanah gambut giat dilakukan - Nik Nazmi

Usaha padam kebakaran tanah gambut giat dilakukan – Nik Nazmi

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Daerah Balok Baru, Kuantan mencatatkan kualiti udara ‘tidak sihat’ pagi ini dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 188 berpunca daripada kebakaran tanah gambut seluas 200 ekar di Ladang Kelapa Cherating.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha memadam kebakaran sedang giat dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui kaedah firefighting, water bombing dan kerja-kerja flooding dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS)

Beliau berkata, JAS telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A dan 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana peringkat negeri dan daerah susulan  bacaan IPU mencapai 201 hingga 300 di Balok Baru, semalam.

Kata Nik Nazmi, beliau juga akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan, esok.

“Mesyuarat tahunan melibatkan 60 kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri bagi melaporkan status terkini keadaan cuaca, kualiti udara dan sebagai platform untuk merancang tindakan dan strategi pencegahan pembakaran terbuka serta jerebu.

“Isu kebakaran yang berlaku di Ladang Kelapa Cherating, Kuantan dan tindakan penyelarasan akan turut dibincangkan dalam mesyuarat ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nik Nazmi, kementerian telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) pada 21 Februari lalu bagi membolehkan semua agensi terlibat meningkatkan pemantauan.

“Ia juga untuk membolehkan tindakan berjaga-jaga bagi mencegah pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam,” katanya.

Tambah beliau, JAS telah mengaktifkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) bagi Melaksanakan Program Mencegah Kebakaran di Tanah Gambut Untuk Mengatasi Jerebu di Malaysia telah sejak 26 Februari 2025.

JAS turut meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunkan drone serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Nik Nazmi berkata, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 3 Mac 2025 melaporkan bahawa hujan akan berlaku pada hari ini

“Bagaimanapun, keadaan lebih kering diperhatikan di Semenanjung Malaysia dan Utara Sumatera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya