Usah jadikan Ramadan ‘bulan pesta makan’ – Mufti

Usah jadikan Ramadan ‘bulan pesta makan’ – Mufti

ORANG ramai berkunjung di Bazar Ramadan Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap gemar membazir yang berlaku dalam bulan Ramadan boleh menjadikan ibadah puasa sia-sia kerana tidak mencapai matlamat utama iaitu ketakwaan kepada Allah.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, sikap lebih memen­tingkan kepuasan makan daripada penghayatan ibadah menyebabkan umat Islam gagal mengambil manfaat sebenar Ramadan.

Beliau berkata, umat Islam perlu menyedari hakikat bahawa puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga adalah satu ibadah yang membentuk peribadi, akhlak serta sahsiah diri.

“Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang mampu mengawal nafsu, termasuk dalam aspek pemakanan. Oleh itu, umat Islam hendaklah menjauhi amalan menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk berpesta makan secara berlebihan.

“Fenomena pembaziran makanan yang semakin berleluasa setiap kali Ramadan amat menyedihkan. Sepatutnya bulan yang penuh keberkatan ini mendidik umat Islam agar bersikap sederhana dan berjimat cermat, bukan sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, hampir dua tan metrik makanan yang tidak terjual telah dikumpul dari lima lokasi bazar Ramadan berjaya diselamatkan daripada dibuang.

Menurut Pengarah Jabatan Kebersihan Awam dan Kelesta­rian Sisa, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd. Azmi Amer Khan, jumlah itu merupakan berat terkumpul sejak program MySave Food @ Bazar Ramadan 2025 dilaksanakan bermula hari kedua Ramadan.

Mohd. Sukki berkata, wujud segelintir masyarakat sanggup berbelanja besar demi membeli pelbagai jenis juadah berbuka yang akhirnya sebahagian daripadanya terbuang begitu sahaja.

Beliau berkata, ada juga yang menjadikan waktu berbuka puasa sebagai satu pesta makanan, seolah-olah Ramadan telah bertukar menjadi ‘bulan pesta makan’.

“Sungguh menghairankan apabila melihat ada individu yang lesu dan tidak bermaya sepanjang hari ketika berpuasa, tetapi menjadi begitu bertenaga dan bersemangat apabila tiba waktu petang untuk membeli juadah berbuka.

“Mereka membeli makanan secara berlebihan, seolah-olah mahu mengganti sarapan pagi, makan tengah hari dan makan petang yang ditinggalkan sepanjang hari. Akibatnya, berlakulah pembaziran yang ketara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya