KANGAR: Jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan negara amat besar dalam memastikan rakyat dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan aman serta harmoni.
Tatkala orang lain menikmati juadah sahur dan berbuka bersama keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) tetap setia berkhidmat, bersengkang mata mengawal pos sekatan bagi memastikan sempadan negeri ini bebas daripada sebarang ancaman.
Menghargai pengorbanan wira-wira negara ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama Persatuan Wartawan Perlis (PWP) tampil menyantuni mereka dalam program Singgah Sahur, kelmarin.
Delegasi UniMAP yang diketuai Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli bersama para pengamal media Perlis mengagihkan pek makanan kepada anggota keselamatan yang bertugas di sembilan lokasi sekitar negeri ini.
Antara lokasi yang diziarahi ialah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Arau, Pos Kawalan UniMAP, Pos Sekatan Jalan Raya PGA di Chuping, Kem PGA Padang Besar; Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Ternyata, ramai dalam kalangan anggota keselamatan, terutama yang bertugas di kawasan sempadan, tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga kerana komitmen menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.
Kompeni Komander, Kompeni C PGA Padang Besar, Asisten Superintenden Mior Abdul Khalil Abdul Azid berkata, sokongan dan penghargaan daripada pelbagai pihak menjadi pembakar semangat kepada anggota yang bertugas tanpa mengira waktu.
“Pelaksanaan program ini memberi sokongan moral kepada anggota bertugas. Kami amat berterima kasih kepada UniMAP dan PWP atas inisiatif ini yang benar-benar memberi makna kepada kami,” katanya.
Bagi anggota APM, Nur Syaza Shafie, inisiatif sebegini sangat bermakna dalam menghargai mereka yang bertugas ketika ramai yang lain bersahur di rumah bersama keluarga.
Katanya, sokongan masyarakat menjadi dorongan untuk mereka menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.
Sementara itu, Zaliman berkata, program tersebut bertujuan menghargai peranan pasukan barisan hadapan yang tidak mengenal penat lelah dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.
“Menerusi program ini, kami singgah di pelbagai lokasi bagi mengagihkan pek makanan dan menyampaikan penghargaan kepada mereka yang berkorban demi keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN