KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam usaha meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan pelajar khususnya di kolej kediaman.
Sebagai usaha mencapai matlamat tersebut, Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) dengan kerjasama Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH), UMS telah mengadakan Majlis Anugerah Penarafan Pengurusan KKP Kolej Kediaman Sesi 2023/2024 baru-baru ini.
Menurut Pengarah PNRF, Stella@Nurul Martini Gontol, penganugerahan penarafan bintang kepada kolej-kolej kediaman tersebut penting bagi menunjukkan komitmen pihak universiti untuk mengekalkan piawaian keselamatan yang tinggi dalam persekitaran di kolej kediaman.
“Ini juga adalah bagi menggalakkan pelajar agar turut bertanggung jawab serta peka terhadap KKP
“Usaha ini turut selaras dengan matlamat universiti untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,” tambahnya.
Stella juga turut menjelaskan, penarafan bintang kepada semua kolej kediaman UMS adalah berdasarkan penilaian Jawatankuasa Penilai yang telah diadakan sebanyak dua siri iaitu siri 1 bermula pada 7 Disember 2023, manakala siri 2 pada 4 Jun 2024.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor UMS (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berharap agar program seumpama itu dapat dilaksanakan sebagai salah satu program tahunan Organisasi untuk memupuk semangat kerja berpasukan.
Tambah beliau, amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja perlu diterapkan dan diamalkan oleh semua pihak bagi memastikan dan mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan dari berlaku.
Pada Majlis tersebut, Kolej Kediaman Antarabangsa Kingfisher mendapat penarafan tempat pertama diikuti oleh Kolej Kediaman Kampus Antarabangsa Labuan pada tempat kedua dan Kolej Kediaman Lestari,Sandakan pada tempat ketiga.
Hadir sama pada majlis tersebut wakil Sedafiat Sdn Bhd.,Datin Dr.Mariam Mahmun dan pengarah COSH, Prof.Dr. Khamisah Awang Lukman. – UTUSAN