UMNO tidak terjebak retorik perpaduan Melayu

UMNO tidak terjebak retorik perpaduan Melayu

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: UMNO tidak akan terjebak dalam permainan politik yang boleh menggugat kestabilan parti, apatah lagi menjadi alat kepada mana-mana pihak atas nama perpaduan Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menegaskan, hala tuju politik parti mesti diputuskan secara kolektif oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi memastikan UMNO kekal relevan dalam memacu masa depan negara.

Menurutnya, UMNO masih komited dengan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak pernah membincangkan sebarang rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Apa sahaja keputusan mesti dirujuk kepada MKT. Setakat ini, tiada sebarang perbincangan tentang kerjasama dengan Pas dan Bersatu. Fokus kita adalah meneruskan gabungan yang ada bersama PH,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ukhuwah Madani Parlimen Temerloh anjuran Sekretariat NGO Madani di sini.

Isnin lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, tiga parti Melayu berpotensi membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya UMNO bersedia bergabung dengan Bersatu dan Pas.

Mengulas perkara itu, Mohd. Sharkar berkata, UMNO menghargai pelawaan tersebut tetapi sebarang keputusan mesti diputuskan oleh MKT dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Hamzah atas pelawaan itu. Namun, keputusan sebegini perlu dipertimbangkan dengan melihat sama ada ia menguntungkan UMNO atau sebaliknya,” katanya.

Beliau menegaskan UMNO perlu berpandangan jauh dan tidak terperangkap dalam retorik politik yang boleh merugikan parti.

“Realiti politik hari ini menuntut UMNO melihat kepentingan jangka panjang, bukan sekadar retorik semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya