Umat Islam diminta berhati-hati beri komen, pendapat media sosial

Umat Islam diminta berhati-hati beri komen, pendapat media sosial

NOOH GADOT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini diminta supaya lebih berhati-hati dalam memberi komen atau pendapat di media sosial bagi mengelakkan daripada tercetusnya perpecahan serta mengganggu-gugat keharmonian sesama rakyat yang berbilang kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, mereka juga diharapkan dapat menjadikan platform media sosial sebagai wadah terbaik dalam berbicara dan mengeluarkan pendapat serta dapat mengikut lunas-lunas ajaran agama.

Kata beliau, ia termasuk di dalam perkara yang boleh mencetuskan perpecahan, mengganggu gugat keharmonian dan membawa kepada persengketaan.

“Sebagai umat Islam, mengutamakan akhlak yang baik dalam setiap percakapan mahupun penulisan termasuk di dalam media sosial adalah satu tuntutan agama dan Islam merupakan sebuah agama yang menitikberatkan perihal akhlak.

“Menggunakan kata-kata yang dapat menyakiti sesama umat Islam, kaum-kaum lain atau menimbulkan kebencian adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang amat menekankan kepada perpaduan dan hubungan saling hormat-menghormati,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nooh berkata, kempen kalimah Toyyibah gagasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang dilancarkan pada Ogos lalu juga bertepatan dengan situasi semasa.

Jelasnya, masyarakat yang mengamalkan budi bahasa sopan, santun dan berhemah dalam pergaulan dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik insan yang beradab dan berbudi pekerti tinggi sebagai teladan.

“Oleh itu, saya dengan rasa rendah hati ingin menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan kaum-kaum yang lain agar bersikap ikhlas, bertanggungjawab dan berhati-hati di dalam berbicara dalam mengeluarkan pandangan di media sosial.

“Mudah-mudahan setiap perkataan yang dilontarkan membawa manfaat kepada umat Islam dan kaum-kaum yang lain seluruhnya serta tidak memudaratkan keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara kita yang diberkati ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya