KUALA LUMPUR: Setelah membawa pulang pingat emas untuk pertandingan nyanyian antarabangsa di Los Angeles tahun lalu, penyanyi muda, Umairah, menyimpan harapan menyertai program pertandingan serupa di negara seperti China dan Indonesia.
Jelas Umairah atau Ummi Umairah Saiful Anuar, 14, hasrat itu bagaimanapun perlu diteliti kerana dia terikat dengan rutin sekolah berasrama.
“Memang saya nak sertai pertandingan di luar negara seperti China atau Indonesia. Tapi saya perlu lihat semula jadual persekolahan kerana saya sekolah berasrama.
“Sekarang ini pun saya hanya ambil undangan persembahan semasa cuti sekolah selama sebulan atau hujung minggu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran single Raya Nak Ke Mana? di Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Umairah yang juga pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur juga sebak apabila berjaya menghasilkan single raya pertamanya, Tak Balik Raya yang mendapat sambutan baik daripada pendengar.
“Saya rasa terharu apabila lagu pertama saya ini mendapat sokongan positif daripada semua.
“Ini secara tidak langsung membuatkan saya lebih bersemangat untuk merakamkan lebih banyak lagu,” katanya yang sudah mempunyai hampir 300,000 tontonan di YouTube.
Ditanya mengenai perancangan hala tuju kerjaya selepas ini, Umairah sedang dalam proses mencari material sesuai untuk single keduanya di samping tidak menolak sekiranya ada rezeki berduet bersama ibu saudaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza atau penyanyi muda yang lain.
“InsyaAllah SN Legasi memang sudah rancang untuk hasilkan lagu seterusnya cuma tengah dengar lagi mana lagu yang sesuai dengan saya. Jadi kalau ada sesiapa nak buatkan lagu untuk saya, silakan.
“Impian saya memang mahu lagu duet bersama Mak Iti (panggilan Datuk Siti), tapi kena tanya Mak Rozi (pengurus Siti).
“Kalau ada rezeki, mungkin saya boleh buat cover dan buat lagu bersama penyanyi seumuran saya, insyaAllah,” katanya.
Terdahulu, Umairah mencuri perhatian apabila memenangi pingat emas pada pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-27 di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat.
Umairah kemudian dipilih menjadi artis pertama SN Legacy Sdn Bhd milik Siti dengan kontrak selama lima tahun sejak awal Januari lalu.