Tuntutan palsu: Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan didenda RM45,000 - Utusan Malaysia

Tuntutan palsu: Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan didenda RM45,000

NORRUL HUDA Marsidin (kanan) bersama peguam hadir ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka dan didakwa mengemukakan tuntutan palsu. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan di Melaka didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bagi perkhidmatan membekalkan makanan dan minuman, empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Norrul Huda Marsidin, 42, sejurus tiga pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, tertuduh dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu tiga invois milik FIS Gemilang Enterprise berjumlah RM6,640 bertarikh 22 November 2021 bagi perkhidmatan membekal makanan dan minuman untuk dua program jabatan.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Perangkaan Negeri Melaka, Wisma Persekutuan, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada November 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan denda sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman berbentuk denda tanpa pemenjaraan dengan alasan anak guamnya masih bekerja di jabatan sama, selain menanggung ibu dan adik serta menghidap penyakit anxiety disorder.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau lima bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal bayar.

Mahkamah memerintahkan tiga pertuduhan sebelum ini di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan diambil pertimbangan atau take into consideration (TIC) selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya. Tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya