Tunggu saya tumbuh janggut, baru selesai agaknya – Betty Banafe - Utusan Malaysia

Tunggu saya tumbuh janggut, baru selesai agaknya – Betty Banafe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUJUH tahun sudah berlalu sejak perceraian dengan bekas suami, Bruce Dargus, namun isu hak penjagaan dua orang anak pelakon, Betty Banafe tidak nampak jalan penghujungnya.

Sepanjang tempoh ini, pelakon itu ibarat berjuang sendiri turun naik mahkamah apabila tidak menerima kerjasama yang baik daripada bekas suami yang kini menetap di Amerika Syarikat.

Sudahlah isu hak penjagaan masih tergantung, kini, pelakon Hati Malaya itu perlu menguatkan emosi menghadapi satu lagi kes mahkamah berhubung hak penjagaan interim (sementara) antaranya dan pihak ibu bapa bekas suami.

“Doakan ya sebab saya masih menunggu keputusan untuk isu hak penjagaan hadhanah interim anak-anak saya. Maksudnya di sini, atuk dan nenek mereka mahu ambil hak saya sebagai penjaga.

“Tolong doakan agar keputusan berpihak kepada saya iaitu ibu mereka. Biarlah saya dapat jaga mereka sekurang-kurangnya sampai mereka cukup akal, minda yang waras, ada asas agama sehingga boleh menentukan jalan sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas mengenai isu hak penjagaan Julia Claire Dargus, 12, dan Bruce Dean Dargus, 9 secara kekal, Betty atau Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe mengakui setakat ini belum ada perkembangan positif.

Enggan terlalu larut dalam kesedihan, pelakon itu sengaja mengalihkan fikiran dengan memberi fokus menguruskan perniagaan restoran dan kedai serbaneka Benafee Mart selain kerja-kerja di rumah produksi.

Terkini, dia telah meluaskan perniagaan dengan membuka kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam pertamanya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Bila sibuk urus bisnes semua ini buat saya lupa masalah mahkamah yang sudah masuk tahun ketujuh tidak selesai. Tak tahulah, tunggu saya sudah berjanggut baru selesai agaknya.

“Tapi saya fikir, kita hidup ini sentiasa diuji Allah, jadi kena selalu kena fikir positif sebab di sebalik ujian akan selalu ada kekuatan. Kita hanya mampu merancang tapi Allah yang tentukan.

“Apa yang terjadi selalu ada kebaikan walau bukan dalam waktu yang kita inginkan,” tambahnya.

Ditanya apakah sumber kekuatan membuatkan pelakon itu cekal menghadapi hidup, Betty mengakui dia menyerahkan segala urusan kepada Allah di samping bersyukur dikelilingi orang-orang baik yang memberikan mesej positif kepadanya.

“Masalah peribadi saya tidak pernah ambil sebagai suatu yang penting. Kalau ia begitu membebankan, saya akan sediakan satu buku untuk tulis dan luahkan semuanya di sana. Kemudian saya berdoa ‘Ya Allah aku serahkan kepadaMu, tak tahu jalan ini bagaimana’.

“Selain itu, dalam hidup ada tujuan yang perlu saya capai. Anak saya paling sulung sudah darjah enam. Saya kena pastikan dalam kelas dia tidak terlibat dengan masalah buli dan mempunyai hubungan baik dengan cikgu-cikgu.

“Anak saya yang kedua pula sekolah di aliran tahfiz, hidup saya Alhamdulillah cukup. Sabahat baik juga ramai. Lihat muka mereka sahaja sudah gembira,” katanya.

Terdahulu, Betty dan Dargus mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2012 dan bercerai pada 10 Julai 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya