MEMANG ada yang berkenan dan mahu berkenalan, namun penyanyi, Ara Johari, lebih selesa berkawan untuk mengenali hati budi seseorang. Walaupun begitu, gadis asal Negeri Sembilan itu memberi kepastian belum ada hubungan yang boleh dianggap istimewa.
Sekarang, Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari, 27, memberi tumpuan kepada kerjaya, mengumpul wang untuk memberikan keselesaan kepada kedua orang tuanya. Tambahan pula, ibu dan ayah sendiri juga tidak pernah mempersoal tentang jodoh kerana sudah menjadi kebiasaan ahli keluarga mereka lewat mendirikan rumah tangga.
“Bagi saya, target sekarang ialah mahu membahagiakan ibu bapa. Kalau mereka minta menantu barulah saya boleh buka hati berkahwin.
“Lagipun saya belum mampu belikan ibu bapa kereta dan rumah seorang satu. Bila dah dapat, barulah saya fikirkan untuk kahwin. Ibu ayah tidak pernah bersuara atau mengadu tentang itu.
“Begitu juga dengan wang. Kalau saya ada duit, mereka tahu. Jika tiada pun, mereka tahu.
“Tapi adik saya akan berkahwin tidak lama lagi, langkah bendul orang kata. Doakanlah mana tahu ‘lekat’ pula jodoh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di Bizmilla Event Hall, baru-baru ini.
Namun begitu, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-33 itu positif menyerahkan urusan berkenaan pendamping hidup kepada Allah.
“Jodoh kalau Allah sudah takdirkan, mesti ada. Saya tunggu sampai jodoh itu sampai. Setakat ini saya kenal-kenal sahaja.
“Saya masih solo dan tidak menjaga jodoh orang lain. Setakat ini saya ambil pendekatan untuk meneruskan hidup, bekerja tanpa fikir tekanan untuk berkahwin,” katanya yang mengakui pernah melalui episod patah hati sebelum ini.
ALBUM MINI
Ara terus mencipta sejarah apabila lagunya Menjaga Jodoh Orang Lain melakar rekod cemerlang dengan 10 juta tontonan di YouTube dan lebih enam juta penstriman di aplikasi Spotify.
Tuah bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia Ilham Baso dan Adrian Rahmat Purwanto turut melayakkan Ara Johari kekal di carta RIM (Recording Industry Music of Malaysia) selama dua minggu berturut-turut.
Mahu meneruskan momentum tersebut, Ara membuka peluang kepada komposer muda tempatan untuk berkolaborasi menghasilkan mini albumnya tahun ini.
“Kejayaan lagu itu semestinya memberikan tekanan apabila peminat mula menjangkakan lagu yang lebih fenomena. Saya cuba yang terbaik, jika berhasil, Alhamdulillah. Jika tidak, tak mengapa.
“Oleh itu, saya buka ruang kepada komposer baru untuk keluarkan idea baru dan hantar dan hantar kepada saya. Saya merancang untuk menghasilkan sebuah album mini pada hujung tahun ini,”katanya.