PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menumpukan peningkatan enrolmen murid yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen di semua jenis sekolah.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan turut memperkenalkan inisiatif sekolah berasrama penuh (SBP) khusus yang memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam usaha ini, katanya, kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut akan dipertingkatkan bagi memperkasa
pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di semua jenis sekolah dan di setiap peringkat.
“(Pada masa ini) semua sekolah SBP melaksanakan pakej STEM dengan jumlah murid seramai 18,113 atau 98.86 peratus daripada keseluruhan murid SBP bagi merealisasikan sasaran dasar 60 peratus murid dalam bidang STEM.
“Manakala baki seramai 209 orang murid SBP atau 1.14 peratus lagi mengambil pakej Sains Sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan, kira-kira 70 peratus pelajar di SBP di KPM dan Maktab Rendah Sains Mara (Mara) memilih bidang STEM mulai tahun hadapan.
Dalam seruan ini, KPM menyambut baik saranan Perdana Menteri itu bagi menampung keperluan sumber manusia dalam bidang berkaitan.
KPM berkata, pakej STEM di SBP ditawarkan seperti murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi) serta Matematik Tambahan.
Selain itu, murid ditawarkan mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen, Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.
Pilihan lain ialah murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen, Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran atau murid mengambil dua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik dan Kimia), Matematik Tambahan serta Sains Komputer. – UTUSAN