Tukang kebun maut rempuh lembu sado

Tukang kebun maut rempuh lembu sado

LEMBU sado yang dipercayai berada di tengah jalan sebelum dilanggar dua kenderaan di Jalan Baru Baling-Kupang, Kampung Sera di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang tukang kebun terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor lembu sado di Kampung Sera, Jalan Baru Baling-Kupang, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.40 malam itu, mangsa, Muhammad Noor Ikhwan Sudin, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada muka dan badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Mohd Azmi Mokhtar berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu motosikal jenis Honda dan kereta jenis Perodua Bezza.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta tersebut datang dari arah Bakai menghala ke Baling.

“Kereta itu bergerak lurus sebelum melanggar seekor lembu sado yang berada di tengah laluan. Akibat perlanggaran, haiwan itu melambung di atas bumbung kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya arah ke Baling,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal dari arah belakang kereta berkenaan juga tidak sempat mengelak lalu turut melanggar lembu itu.

“Rempuhan mengakibatkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala dua penumpang kereta mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Daerah Baling untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya