Tukang cuci dipenjara 11 bulan, curi wang pejabat ADUN Komtar

Tukang cuci dipenjara 11 bulan, curi wang pejabat ADUN Komtar

C. MURLI (kanan) mengaku bersalah mencuri wang bernilai RM7,259 di pejabat ADUN Komtar ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang, semalam.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang tukang cuci hari ini dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri wang bernilai RM7,259 di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, tahun lepas.

Tertuduh, C. Murli, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh seorang jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memecah masuk Pejabat ADUN Komtar dengan tujuan mencuri wang utiliti pejabat berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2024, kira-kira pukul 8.11 malam di Pejabat ADUN tersebut yang terletak di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Atas kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Mengikut fakta kes, pada 27 Disember 2024, seorang pekerja pejabat ADUN Komtar telah mendapati beg berisi wang tunai bagi tujuan pembayaran utiliti pejabat yang disimpan dalam laci berjumlah RM7,259 telah hilang.

Pekerja berkenaan kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh telah memecah masuk pejabat berkenaan pada hari kejadian serta mencuri wang berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam rayuan peguam terhadap tertuduh, peguam YBGK memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadap tertuduh memandangkan dia hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM50 sehari.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 11 bulan serta denda RM2,000 dan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan.

Difahamkan, tertuduh bagaimanapun tidak membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya