BALIK PULAU : Polis menahan tujuh lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Bazar Ramadan Bayan Baru di sini, semalam selepas mereka disyaki menjadikan bazar tersebut sebagai lokasi untuk mengedar dadah.
Antara dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya itu dadah jenis ketamin dan Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM610.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah gerai di bazar berkenaan.
Katanya, serbuan itu membawa kepada penahanan enam suspek lelaki bersama beberapa peket dadah serta rokok yang mengandungi bahan terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai tiga peket plastik lutsinar berisi ketamin dengan dua batang rokok yang dicampur tembakau dan ketamin dengan anggaran berat keseluruhan rampasan sebanyak 2.85 gram.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan umur antara 20 hingga 33 tahun dan bekerja sebagai peniaga serta pembantu kedai makan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Sazalee, susulan kejayaan serbuan pertama, polis kemudian menyerbu gerai kedua dan menahan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun.
“Pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu bungkusan foil merah dan perak berisi dua biji pil dipercayai Erimin 5 seberat 0.60 gram,” katanya.
Dalam pada itu, Sazalee berkata, siasatan awal mendapati, beberapa suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta kesalahan lampau yang lain.
“Semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” tambahnya. – UTUSAN