PUTRAJAYA: Tuduhan kononnya Islam ditindas dan berat sebelah susulan perbezaan denda dan kompaun membabitkan kes hina agama disifatkan sebagai suatu fitnah yang jahat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tuduhan itu ternyata tersasar jauh dari realiti dan fakta yang sebenar.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya akui masih ada pihak yang cuba memutar belitkan fakta berkenaan biarpun ia telah diizinkan oleh Timbalan Pendakwa Raya dan diputuskan oleh Mahkamah.
“Saya sudah jelaskan bahawa yang dikenakan kompaun adalah syarikat pemegang lesen iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd (pengendali radio Era) dan bukannya era FM itu sendiri mahupun ketiga-tiga penyampai radio.
“(Tuduhan) kononnya hukuman yang dikenakan berat sebelah hingga menyebabkan agama Islam ditindas, ini fitnah yang memang berniat jahat dan lari daripada realiti ataupun fakta,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, kes membabitkan stesen radio, dua individu termasuk pelawak serta sebuah syarikat pengendali kedai serbaneka adalah tiga kategori berbeza.
Fahmi berkata, bagi kes KK Mart, siasatan dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan denda dikenakan adalah sebanyak RM60,000 iaitu melalui keputusan mahkamah.
“Manakala bagi kes (pelawak) Harith Iskander dan Cecelia Yap pula, kes dikendalikan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dan mereka adalah kategori individu, bukan syarikat.
“Maka Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 dan isu ini tidak dibawa ke mahkamah tapi diputuskan, diizinkan oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk mengenakan kompaun.
“Ingin saya ingatkan juga kesalahan ini berlaku sebelum pindaan AKM yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu yang mana sebelum tarikh itu, kesalahan boleh dikenakan denda di mahkamah sehingga RM50,000 manakala selepas tarikh itu, denda dinaikkan sehingga RM500,000,” katanya.
Semalam, MCMC mengenakan kompaun RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd kerana muat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM.
Kompaun itu dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang dipinda pada 11 Februari 2025). Denda itu dikeluarkan dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara. – UTUSAN