PETALING JAYA: Kerajaan digesa menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji cadangan berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah tersebut wajar bagi mengelakkan sebarang unsur ketidakadilan terhadap rakyat tanpa mengira warna kulit dan agama.
“Sebab itu dalam sesi penerangan mengenai RUU URA bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, ramai pemegang taruh termasuk masyarakat India dan Cina tampil ke hadapan mempertahankan hak rakyat.
“Perikatan Nasional (PN) akan menentang sebarang ketidakadilan dalam akta ini dan pada masa yang sama menggesa kerajaan agar menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai semua pihak berkepentingan termasuk wakil pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan masa depan seluruh rakyat terpelihara,” katanya dalam hantaran di platform Facebook.
Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membentangkan RUU itu pada sesi Parlimen, Julai ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, RUU berkenaan ketika ini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, bulan depan. – UTUSAN