PETALING JAYA: Tindakan beberapa pemimpin veteran yang memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan tidak mempertahankan jawatan dalam parti, disifatkan sebagai trend peralihan generasi dalam politik Malaysia.
Felo Penyelidik Bersekutu, Institusi Analisis Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhd. Afifi Abdul Razak berkata, ia adalah proses semula jadi dalam evolusi politik dan telah berlaku dalam beberapa parti utama.
Jelasnya, proses itu penting untuk pembaharuan idea dan pendekatan dalam konteks politik semasa.
“Parti-parti politik lain mungkin mendapat manfaat dengan mengikuti pendekatan peralihan berperingkat ini, tetapi ia harus disesuaikan dengan konteks masing-masing.
“Keseimbangan antara pengalaman dan pembaharuan adalah penting untuk kestabilan parti kerana kadar peralihan yang optimum berbeza mengikut struktur, ideologi dan demografi pengundi parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU16 kerana faktor usia dan mahu memberi peluang kepada pemimpin muda dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tambah Muhd. Afifi, peningkatan bilangan pemimpin muda dalam politik tidak akan mencetuskan fenomena seperti pembentukan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebelum ini.
“Pembentukan parti baharu biasanya berpunca daripada ketidakpuasan hati dengan struktur parti sedia ada atau jurang ideologi yang tidak dapat dirapatkan, bukan semata-mata faktor usia.
“Pertambahan suara muda dalam parti sedia ada lebih berkemungkinan membawa kepada pembaharuan dasar,” katanya. – UTUSAN