ALOR SETAR: Kerajaan telah mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd bagi perolehan 12 set tren tiga gerabak untuk perkhidmatan KTM Komuter Utara pada Khamis lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan tren-tren baharu melalui tender terbuka itu akan bermula serta-merta dan dibekalkan secara berfasa dalam tempoh 36 bulan.
Menurut beliau, kos keseluruhan sebanyak RM283 juta merangkumi proses reka bentuk, pembinaan, penghantaran, pengujian dan pentauliahan tren sebelum diserahkan kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk operasi penuh.
“Tren pertama dijangka diterima dalam tempoh 22 bulan. Perolehan 12 set tren baharu ini dijangka mampu meningkatkan frekuensi perkhidmatan KTMB Komuter Utara, sekaligus mengurangkan waktu menunggu penumpang.
“Malah, ianya juga akan menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selesa, moden dan efisien kepada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Ke Stesen KTM Alor Setar, di sini hari ini.
Tambah Anthony Loke, antara 2023 hingga tahun lalu, jumlah purata penumpang harian KTM Komuter Utara telah melonjak 29 peratus daripada 12,668 kepada 16,363 orang.
Kata beliau, peningkatan itu sekaligus membuktikan langkah penambahbaikan sebelum ini telah berhasil dan perkhidmatan komuter semakin menerima sambutan dalam kalangan rakyat.
“Oleh kerana trend peningkatan penumpang yang sangat menggalakkan, Kementerian Pengangkutan dan KTMB telah mengambil langkah tambahan untuk memastikan perkhidmatan lebih selesa dan menepati masa.
“Antaranya KTMB menempatkan semula sebuah komuter enam gerabak dari Lembah Klang untuk kegunaan KTM Komuter Utara susulan pelaksanaan berfasa kerja naik taraf Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT),” katanya.
Ujar beliau, tren enam gerabak itu akan menggantikan sebuah tren tiga gerabak bagi menambah kapasiti daripada 450 orang setiap trip kepada 1,100 orang untuk memberi keselesaan kepada penumpang di sektor itu.
Sementara itu, Anthony berkata, bagi keselesaan penumpang terhadap infrastruktur di stesen-stesen pula, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah membina tempat letak motosikal berbumbung di empat stesen yang keseluruhannya boleh menampung 345 lot dengan kos RM1.3 juta.
“Pembinaan tiga unit lif di Stesen Keretapi Bukit Ketri hampir selesai dan dijangka siap pada 30 April ini dengan kos RM3.4 juta. Pembinaan di Stesen Kodiang dan Kobah akan bermula bulan depan.
“RAC juga akan melaksanakan penaiktarafan kemudahan tandas di 10 stesen keretapi antaranya di Padang Besar, Arau, Bukit Mertajam, Ipoh, Tanjung Malim, Batu Caves, Serdang, Bangi, Salak Selatan dan Batang Benar,” katanya. – UTUSAN