PETALING JAYA: Pelakon, Hannah Delisha, memilih untuk tidak melakonkan babak yang terlalu lasak dalam drama atau filem.
Pelakon berusia 28 tahun berkata, keputusan itu diambil demi kebaikan diri dan mengelakkan perkara tidak dinggini menimpa di kemudian hari.
“Saya tidak melakonkan aksi terjun dari rumah terbakar dalam drama Dendam Seorang Madu, sebaliknya guna khidmat pelakon lagak ngeri untuk babak tersebut.
“Hal ini telah dibincangkan lebih awal dengan penerbit dan pengarah drama tersebut. Mereka juga menyokong dan mencadangkan solusi yang sama.
“Sebelum ini saya pernah alami keguguran disebabkan lakonan yang lasak. Jadi saya ambil pengajaran daripada kejadian itu.
“Babak lasak ini, kalau saya mampu, saya buat. Kalau tidak, lebih baik saya serahkan kepada pelakon ganti. Saya tidak mahu menanggung akibat di kemudian hari,” kongsinya.
Hannah berkata demikian pada sidang media drama Dendam Seorang Madu baru-baru ini.
Drama yang diarahkan Riza Baharudin itu turut menampilkan Redza Rosli, Sweet Qismina, Lorenzo Irmann dan ramai lagi.
Hannah dalam pada itu memaklumkan terpaksa melupakan hasrat untuk berehat daripada sebarang kerja lakonan sepanjang Ramadan ini disebabkan komitmen dengan drama tersebut yang penggambarannya memakan tempoh lima bulan.
“Kalau boleh saya nak berehat dalam bulan Ramadan supaya saya dapat menjalaninya dengan sepenuhnya. Tetapi rezeki sudah ditentukan untuk saya bagi drama ini dan saya bersyukur kerananya.
“Ini bukan pertama kali saya bekerja sepanjang Ramadan, jadi saya jalani sahaja apa yang sudah pun ditetapkan. Apa pun saya kena jaga kesihatan, elak jatuh sakit supaya tidak menyusahkan orang lain di set penggambaran,” kongsinya. – UTUSAN