Tragedi sahur: 7 sekeluarga cedera kereta terbabas langgar tiang

Tragedi sahur: 7 sekeluarga cedera kereta terbabas langgar tiang

KEADAAN kereta jenis Toyota Innova yang remuk selepas terbabas dan melanggar tiang elektrik di kawasan Lebuhraya Lim Chong Eu, Bayan Lepas, Pulau Pinang awal pagi tadi.-GAMBAR/JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tujuh sekeluarga cedera selepas kereta jenis Toyota Innova yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di kawasan Lebuhraya Dr. Lim Chong di sini.

Difahamkan, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bayan Lepas selepas keluar bersahur di pusat bandar George Town, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.46 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikerah ke lokasi kejadian dengan dibantu oleh BBP Bayan Baru.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati dua daripada mangsa iaitu lelaki dewasa yang masing-masing berusia 40-an dan 20-an cedera di bahagian kepala dan perut akibat tersepit dalam kenderaan itu.

“Seorang lagi mangsa yang tersepit ialah wanita berusia 40-an yang mengalami patah kaki kanan.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit seterusnya dilakukan dengan menggunakan peralatan khas dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 2.54 pagi.

“Turut berada dalam kereta tersebut ketika kemalangan ialah empat orang kanak-kanak yang berusia antara enam hingga 18 tahun. Bagaimanapun, kesemua mangsa dilaporkan hanya mengalami cedera ringan pada bahagian pinggang dan tangan,” katanya di sini, hari ini.

Ketika ini katanya, semua mangsa yang terlibat telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN