BAGAN DATUK: Tradisi mengetuk beduk bagi menandakan waktu berbuka puasa dan imsak sepanjang bulan Ramadan masih dilakukan di sebuah masjid di sini.
Tradisi itu masih dikekalkan di Masjid Ar-Rahmaniah di Kampung Sungai Lancang sini, dipercayai sejak masjid itu dibina pada tahun 1912.
Beduk atau lebih dikenali ‘gendang puasa’ satu ketika dahulu pernah digunakan secara meluas oleh penduduk bukan sahaja menandakan waktu berbuka puasa atau imsak tetapi juga untuk mengumumkan berita bencana atau kematian.
Ahli jawatankuasa masjid, Azizi Mat Sidi, 71, berkata, tradisi mengetuk beduk sepanjang bulan Ramadan tahun 1912 iaitu sejak masjid itu digunakan oleh penduduk.
Pukulan atau mengetuk beduk sebagai isyarat masuk waktu berbuka puasa sudah jadi budaya dan tradisi yang diteruskan sebagai warisan.
“Kini tinggal satu sahaja beduk di masjid ini, yang lain pecah dan rosak. Kami menjaga beduk ini dengan baik supaya tahan lama.
“Walaupun kini ada bermacam-macam kemudahan untuk menentukan waktu berbuka puasa, tradisi memukul beduk semasa Ramadan masih diteruskan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beduk merupakan simbol komunikasi penduduk.
Melalui beduk, maklumat mengenai perkara penting seperti kematian dan kecemasan malah pengumuman majlis atau acara tertentu, disebarkan menerusi pukulan beduk.
“Dahulu apabila mendengar bunyi pukulan beduk, penduduk kampung akan berkumpul di satu kawasan untuk mengetahui apakah yang berlaku atau menerima arahan selanjutnya daripada pihak pemerintah.
“Begitulah pentingnya beduk dalam komunikasi masyarakat dahulu dan beduk masih tersimpan rapi di masjid ini,” katanya.
Menurutnya, selain memukul beduk sebagai tanda masuk waktu berbuka puasa, anak muda di kampung itu turut memukul beduk bagi mengejutkan penduduk bangun sahur. – UTUSAN