PETALING JAYA: Menonjolkan kembali peranan wira-wira negara dalam pasukan keselamatan dalam kalangan semua kaum yang telah berjasa kepada negara mampu menarik kaum bukan Melayu untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, pendedahan itu sekali gus menunjukkan penyertaan masyarakat pelbagai etnik dalam ATM bukan hanya terhad pada era darurat dan pasca n pasca kemerdekaan tetapi berterusan hingga ke hari ini.
“Adalah penting untuk mengetengahkan kisah-kisah pejuang tanah air bagi mengubah persepsi bahawa pasukan keselamatan hanya didominasi oleh satu kaum.
“Semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik telah bersatu dalam menjaga kedaulatan negara.
“Oleh itu, PLKN 3.0 boleh menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan ini sejarah kerjasama antara kaum dalam mempertahankan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berharap pengenalan semula program PLKN 3.0 akan menarik lebih ramai orang Cina dan India menyertai ATM.
Ahmad Fahmi berkata, program tersebut juga mampu memberi inspirasi kepada peserta melalui pelaksanaan modul latihan yang menekan-kan 70 peratus aspek ketenteraan dan 30 peratus modul kenegaraan.
Katanya, setiap peserta PLKN yang diberikan nombor badan askar wataniah berpotensi untuk menyumbang kepada ATM selepas tamat latihan sekiranya mereka didorong untuk melapor diri ke kem wataniah di negeri masing-masing.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, PLKN 3.0 berjaya mencapai objektif asasnya dalam memberikan
ilmu pertahanan kepada pelatih serta meningkatkan kesedaran baha-wa keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama.
Bagaimanapun katanya, penyertaan masyarakat pelbagai kaum dalam program itu perlu diperkasakan dengan pendekatan lebih berkesan.
“Penting untuk menjelaskan kepada kaum Cina dan India bahawa program ini mempunyai matlamat yang mulia dan bermanfaat supaya lebih ramai berminat untuk menyertainya,” katanya.
Tambah Lam Thye, penyertaan dalam pertahanan negara tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab satu kaum sahaja sebaliknya perlu merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Melalui usaha ini, lebih ramai individu berpeluang menyertai PLKN 3.0, sekali gus memperkukuhkan semangat patriotisme dan kesiapsia-gaan
dalam mempertahankan negara,” katanya. – UTUSAN