TNB komited menyumbang kepada masyarakat melalui agihan zakat

TNB komited menyumbang kepada masyarakat melalui agihan zakat

PROGRAM Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi membantu asnaf yang memerlukan adalah antara program pengagihan zakat yang diadakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENAGA Nasional Berhad (TNB) te­rus membantu golongan yang memerlukan dengan menunaikan kewajipan zakatnya melalui agihan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Bagi tahun 2024, TNB telah meng­agihkan zakat berjumlah RM33 juta, mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong kesejahteraan sosial dan pemba­ngunan negara.

Dari Syarikat ke Masyarakat

TNB menyalurkan zakat melalui dua kaedah utama iaitu Zakat Perniagaan dan Zakat Wakalah. Zakat Perniagaan adalah zakat yang dibe­rikan oleh TNB kepada Majlis Aga­ma Islam Negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Pengagihan dilakukan berdasarkan komposisi berikut:

  • 70% untuk golongan fakir miskin
  • 30% untuk golongan fisabilillah

Sementara itu, Zakat Wakalah adalah zakat yang diterima semula oleh TNB daripada Majlis Agama Islam Negeri dan diagihkan terus kepada penerima manfaat yang telah dikenal pasti melalui pelbagai inisia­tif termasuk:

  • Program Baiti Jannati: Membantu keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
  • Ceria Ke Sekolah: Menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg, dan alat tulis kepada pelajar daripada keluarga asnaf.
  • Bantuan keperluan asas dan pembangunan komuniti kepada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Program-program ini dilaksa­nakan dengan kerjasama dan sokongan da­ripada kerajaan Negeri.

 

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Bin Abdul Majid menegaskan bahawa sumbangan zakat merupakan tanggungjawab syariah yang mencerminkan komitmen TNB ter­hadap kesejahteraan rakyat.

“Sumbangan zakat adalah kewajipan syariah dan tanggungjawab yang kami tunaikan dengan penuh keprihatinan. Ia mencerminkan komitmen kami untuk berkongsi kejayaan dengan masyarakat dan memastikan bantuan ini memberi manfaat menyeluruh kepada golo­ngan asnaf.”

Komitmen TNB dalam Pembangunan Masyarakat

Selain menunaikan kewajipan zakat, TNB juga memberikan sumbangan melalui inisiatif CSR yang merentasi teras pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar, dengan perbe­lanjaan RM140.9 juta pada 2024.

Bagi teras pendidikan, Yayasan Tenaga Nasional menaja 1,582 pelajar dengan pelaburan RM42.6 juta. Program Baiti Jannati pula telah membina dan membaik pulih 817 rumah sejak 2018, memberi manfaat kepada lebih 4,000 individu.

TNB turut menyumbang dalam program lain seperti Projek Mesra Rakyat dan Better Brighter Shelter, dalam usaha menyokong inisiatif pembangunan sosioekonomi ma­syarakat.

Dalam sukan, hampir RM6 juta disalurkan untuk menaja Konfede­rasi Hoki Malaysia, selain peruntukan yang disediakan untuk membangunkan TNB Thunderbolts serta melaksanakan Klinik Hoki bagi mencungkil bakat baharu.

Sementara itu, dalam aspek kelestarian, pada Februari lalu, TNB te­lah memasang sistem panel solar 25 kWp di sebuah sekolah agama ne­geri untuk mengurangkan kos tenaga dan menyokong masa depan yang lebih bersih, selaras dengan aspirasi negara dalam tenaga boleh baharu dan pembangunan mampan dalam pendidikan.

Keprihatinan yang Berterusan

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan, menegaskan TNB amat komited dalam memastikan setiap program pembangunan komuniti syarikat memberi impak nyata kepada masyarakat.

“Di TNB, kami percaya bahawa peranan kami melangkaui penyediaan bekalan elektrik. Sumbangan zakat merupakan satu kewajipan yang dilaksanakan oleh syarikat untuk membantu kumpulan komuniti yang memerlukan.”

“TNB juga menunaikan tang­gung­jawab sosialnya melalui pelbagai inisiatif CSR, termasuk memperkasa komuniti, membangunkan bakat dan menyokong pertumbuhan yang mampan.

Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” tambah beliau.

Komitmen ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyokong usaha ke arah pembangunan yang inklusif dan lestari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN