PETALING JAYA: “Baru-baru ini, saya ambil keputusan besar untuk tinggalkan kehidupan di bandar dan mulakan hidup baru di sebuah pulau indah bernama Siargao.”
Demikian perkongsian pelakon, Ben Amir yang memaklumkan dirinya mahu memulakan kehidupan baru di sebuah pulau yang terletak di Filipina iaitu Pulau Siargao.
Perkara itu telah dikongsikan oleh Ben menerusi sebuah video yang dimuat naik di YouTube sambil menunjukkan keindahan pulau tersebut, baru-baru ini.
Menurut Ben, dia mahu membiasakan diri untuk menjalani kehidupan di pulau indah tersebut secsra sederhana selain ingin membuat kenalan baru dan belajar budaya di sana.
“Sekarang saya mahu biasakan diri dengan kehidupan pulau. Berkenalan dengan orang baru, belajar budaya warga Filipina dan adab mereka,” katanya.
Nampak bahagia dan lebih tenang, pelakon drama Dhia Kasyrani itu juga tidak kisah untuk bermula dari bawah membina kerjaya baharunya di pulau tersebut dengan mengusahakan sebuah ladang kecil.
“Saya memulakan hidup baru di sini, membina impian saya dari bawah. Sekarang, saya sedang menyiapkan rumah, vila, perniagaan dan tidak lama lagi, saya akan mula mengusahakan ladang kecil saya sendiri,” jelasnya.