Tindakan tegas terhadap pihak sentuh isu 3R - Razarudin

Tindakan tegas terhadap pihak sentuh isu 3R – Razarudin

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan melalui isu-isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi Diraja (3R), terutamanya dalam situasi semasa yang memperlihatkan peningkatan kes penghinaan terhadap agama Islam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam memainkan isu 3R.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyentuh isu-isu yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni, perpecahan serta ketegangan yang berpotensi mengancam keselamatan negara.

“Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang perlu dijaga perpaduan dan keharmoniannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan individu tertentu menghina agama Islam dengan mengaitkan al-Quran kepada unsur lucah serta menuduh Islam menggalakkan keganasan.

Selain itu, satu lagi rakaman video memaparkan kenyataan biadab yang mengaitkan jemaah masjid dengan gelaran pelacur.

Dalam perkembangan berkaitan, PDRM turut menyiasat dakwaan bahawa tiga penyampai radio Era FM mempersenda upacara keagamaan lain menerusi platform media sosial stesen radio berkenaan.

Utusan Malaysia melaporkan, enam individu termasuk tiga penyampai radio Era FM telah selesai memberi keterangan di Bukit Aman semalam.

Ketua Polis Negara mengesahkan bahawa kertas siasatan hampir lengkap dan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

PDRM menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama adalah satu tindakan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya