CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi amaran bahawa mana-mana pihak yang didapati cuba untuk menghangatkan suhu perkauman di negara ini akan dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang telah diumumkan.
“Terutama sekarang Malaysia ini, kita mesti tumpu dalam soal-soal ini dan jangan izinkan negara ini dicemari oleh pelampau perkauman dan agama seperti yang kita dengar.
“Dan keputusan Jemaah Menteri seperti yang diumumkan, siapa saja mulai sekarang yang cuba menghangatkan suhu perkauman dan kebencian kepada kaum dan agama, kaum majoriti atau kaum minoriti, kaum kaya atau kaum miskin, menghina dari sudut kaum dan agama.
“Percaya lah kita (kerajaan) akan ambil tindakan sekeras mungkin untuk menghentikan gejala yang mungkin membawa malapetaka dan kecelakaan kepada negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Madani Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Universiti Multimedia di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar dilapor meminta semua kaum di Malaysia menoktahkan isu perkauman, seterusnya bergerak ke hadapan dalam memastikan negara terus stabil.
Tindakan itu juga dapat menjamin supaya perpaduan antara kaum di negara ini kekal mekar dan harmoni. – UTUSAN