PETALING JAYA: Jualan tiket bas untuk perjalanan ke negeri pantai timur dari ibu negara laris ibarat pisang goreng panas menjelang perayaan hari raya Aidilfitri.
Menerusi tinjauan Utusan Malaysia di beberapa platform pembelian tiket dalam talian mendapati kebanyakan tiket dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sudah habis dijual walaupun baru sahaja memasuki bulan Ramadan.
Kebanyakan tiket yang belum terjual dilihat kerana harga tiket yang sedikit mahal berbanding yang lain.
Bagi harga tiket bas pula, syarikat pengendali dilihat tidak meletakkan harga diluar kebiasaan walaupun permintaan sangat tinggi.
Pekerja swasta, Che Aisyah Nadia Mohd. Hashim berkata, segala persediaan untuk pulang beraya sudah dilakukan dua bulan sebelum Aidilfitri.
Katanya, bas menjadi pilihan utama untuk pulang beraya kerana lebih murah dibandingkan dengan alternatif lain seperti kapal terbang.
“Setiap tahun memang saya akan buat persediaan awal daripada segi cuti dan tiket untuk pulang ke kampung.
“Saya sudah sedia maklum, tiket bas memang akan habis awal terutama ke arah pantai timur. Jika terlambat, sudah pasti akan habis,” katanya.
Sementara itu, pelajar, Muhammad Amnan Faiz Khairul Nizam berkata, dirinya turut membeli tiket sebelum bermulanya Ramadan kerana risau kehabisan tiket.
“Walaupun boleh dikatakan agak awal membeli tiket untuk pulang beraya namun saya bernasib baik kerana ketika itu tiket masih berbaki lagi tiga sahaja.
“Sebagai anak perantauan, memang perlu membeli dengan lebih awal kerana permintaan sangat tinggi,” katanya. – UTUSAN