JOHOR BAHRU: Tiga sahabat menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi, di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine di ladang lembu di Kampung Pengkalan Batu, Mersing, enam tahun lalu.
Hakim, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakimannya berpendapat, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap S. Purusothaman, 42; K. Puvanisveran, 58, dan R. Viknesh, 39.
Katanya, ladang tersebut boleh diakses oleh orang lain selain ketiga-tiga tertuduh dan keterangan saksi pendakwaan turut mengesahkan ada orang lain yang boleh mengakses premis tersebut.
“Mahkamah ini berpendapat pendakwaan gagal membuktikan ketiga-tiga tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan atas dadah berbahaya yang menjadi teras pertuduhan.
“Penemuan dadah di dalam premis tidak memadai untuk mengaitkan Purusothaman dengan kawalan atau jagaan dadah berbahaya. Tiada keterangan lainnya yang menunjukkan siapakah yang meletakkan dadah itu, bila ia diletakkan sebelum tarikh serbuan dilakukan,” katanya.
Katanya, penemuan anak kunci semata-mata tidak memadai untuk mengaitkan Puvanisveran dengan dadah berbahaya yang dijumpai dalam premis tersebut.
Mahkamah juga berpendapat, bagi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine, pemilikan gagal dibuktikan terhadap semua tertuduh.
“Anggapan pengedaran dadah berbahaya turut gagal diaktifkan dan pendakwaan juga gagal membuktikan niat bersama antara mereka. Berdasarkan alasan-alasan yang diperincikan di atas, mahkamah ini memutuskan tiada kes prima facie bagi pertuduhan tersebut. Semua tertuduh diperintah lepas dan bebas dari pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela dirinya,” katanya.
Ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai penternak didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 6.2 kilogram dan memiliki cecair mengandungi methamphetamine dengan isipadu bersih 58.68 liter di sebuah premis di Kampung Pangkalan Batu, Mersing pada 4.10 petang, 28 Ogos 2019.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mereka turut didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd. Said, manakala Purusothaman diwakili peguam bela, G. Subramaniam Nair dan VS Selvanteran. Puvanisveran dan Viknesh pula diwakili peguam bela Sangeet Kaur Deo, Harshaan Zamani dan K. Ganeraja. – UTUSAN