Tiga penjenayah kes samun, pecah rumah ditembak mati di Sepang

Tiga penjenayah kes samun, pecah rumah ditembak mati di Sepang

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing yang dikategorikan ganas dan berbahaya di Desa Vista, Sepang, awal pagi tadi.

Ketiga-tiga penjenayah lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun itu dikesan bergiat aktif melakukan 17 kes samun dan pecah rumah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak awal tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek dipercayai bersembunyi di kawasan hutan selepas cuba menyamun sebuah kediaman di kawasan perumahan berhampiran di Desa Vista.

Katanya, kehadiran suspek dikesan selepas alat penggera keselamatan sebuah rumah yang menjadi sasaran kumpulan tersebut berbunyi sebelum pemiliknya menyedari kelibat individu bersenjata parang dan bertopeng.

“Menyedari kehadiran mereka disedari pemilik rumah, suspek melarikan diri bersembunyi di kawasan hutan berhampiran sebuah tangki air.

“Pada masa sama, pemilik rumah telah menghubungi polis sebelum semua elemen Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) digerakkan untuk mengesan suspek secara serta-merta,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. 

Fadil berkata, pihaknya mengesan suspek di kawasan hutan namun penjenayah terbabit cuba menyerang pasukan polis dengan parang ketika cuba menahan mereka.

Jelasnya,  pihak polis terpaksa melepaskan tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.

“Ketiga-tiga suspek ini disahkan mati di lokasi kejadian. Suspek ini dianggap ganas dan berbahaya kerana tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka.

“Sebagai contoh dalam kes samun di Sungai Buloh, mangsa samun kumpulan ini cedera ditetak selepas cuba melawan mereka,” katanya. 

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan diperolehi, kumpulan penjenayah ini dipercayai terdiri daripada lima individu.

“Kami sedang mengesan saki-baki mereka,” katanya. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek bergiat aktif dalam jenayah samun dan pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM 1 juta.

“Mayat kesemua penjenayah berkenaan di hantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya