PETALING JAYA: Tiga pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terlibat dalam insiden di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kelmarin, direhatkan sementara bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman serta siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Shariff berkata, langkah itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.
“DBKL memandang serius kejadian tersebut dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku sekiranya ia dibuktikan bersalah, terutama yang boleh menjejaskan integriti serta kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, keputusan tersebut juga telah dibincangkan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan, DBKL memaklumkan Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan telah menziarahi Muhamad Za’imuddin Azlan yang sedang menerima rawatan di hospital.
“DBKL turut mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan beliau sepanjang tempoh pemulihan, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan,” katanya.