DARIPADA enam yang disenaraikan, terdapat tiga nama dikatakan menjadi pilihan utama untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Tapah, Safri Mohamad Salih; Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi.
Selain mereka, tiga lagi calon yang turut disenaraikan ialah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali; Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Meor Haris Meor Hakim serta Ketua Puteri UMNO Bahagian Tapah, Nurul Amera Baba.
Safri bukan orang baharu dalam BN, khususnya di Tapah. Dengan pengalaman lebih 20 tahun, sebagai Pegawai Khas (Kaum Melayu) kepada Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan, beliau dekat dengan masyarakat khususnya di Tapah Road kerana tugasnya menjaga sokongan pengundi Melayu.
Lahir dan menetap di Tapah, Safri juga merupakan Ahli Majlis Daerah Tapah (MDT) yang menjadi penghubung antara penduduk di 12 kawasan sekitar Tapah Road.
Keterlibatannya dalam program kemasyarakatan, bantuan serta aktiviti keagamaan menjadikannya bakal calon yang mendapat perhatian ramai.
Difahamkan, dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, namanya sudah tersenarai sebagai calon UMNO, namun belum pernah terpilih.
Fahmi pula merupakan calon muda berumur 42 tahun yang menjadi taruhan Pergerakan Pemuda UMNO Pusat dan negeri.
Ayahnya seorang bekas guru manakala Fahmi sendiri terkenal di Ayer Kuning kerana aktif dalam program-program belia.
Sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Perak, beliau sering menganjurkan pelbagai aktiviti seperti bola sepak, futsal, sepak takraw serta e-sukan.
Sementara itu, Dr. Mohamad Yusri pula merupakan seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan tinggi.
Beliau ialah bekas ketua jabatan dan pensyarah kanan di sebuah institut latihan kerajaan.
Berasal dari Temoh dalam lingkaran Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri boleh dianggap anak jati Tapah dan dikenali sebagai seseorang yang menitikberatkan profesionalisme dalam tugasnya. – UTUSAN